Khamis, 17 September 2009

Penjawat Awam Negeri Kedah, Selangor Terima Bonus Raya RM500

Sumber dari BERNAMA

ALOR SETAR, 16 Sept (Bernama) -- Kerajaan Kedah pada Rabu mengumumkan pembayaran bonus Hari Raya sebanyak RM500 kepada kesemua 5,300 penjawat awam kumpulan sokongan yang berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pembayaran bonus hari raya itu melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM2.65 juta dan akan dibayar secara serentak esok (Khamis).

Bayaran bonus itu diberi kepada semua penjawat awam kumpulan sokongan termasuk yang berkhidmat secara kontrak, sambilan dan sementara, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini.

Azizan juga berkata kerajaan negeri akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka pada 24 Sept ini di kediaman rasminya di Sri Mentaloon.

Di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor mengumumkan pembayaran yang sama kepada 9,000 penjawat awam negeri itu yang akan dibuat sebelum Hari Raya.

Kerajaan pusat telahpun mengumumkan pembayaran saguhati RM500 kepada semua penjawat awam kumpulan sokongan yang akan dibuat dalam dua ansuran.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan