Jumaat, 11 Februari 2011

Tugas Dan Pejabat Baru

::: Hari ini telah masuk 5 hari aku bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Papar sebagai FasiLinus. Dengan tugas yang baru ini bermakna waktu bertugas aku akan berlanjutan hingga ke jam 5 petang. Kalau sebelum ini aku akan bertolak ke sekolah seawal pagi, tapi kini aku bertugas mengikut waktu pejabat dan pastinya "punch card" menjadi teman aku yang baru. :::

::: Dengan situasi dan waktu yang baru, aku perlu belajar menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Namun setelah 5 hari yang aku lalui di sini, banyak yang telah aku pelajari dan aku semakin dapat menyesuaikan diri. :::

::: Tapi itu bukanlah persoalannya. Yang penting dan utama adalah tanggungjawab aku semakin besar. Komitmen aku terhadap LINUS ini menjadi semakin luas. Jika sebelum cuma di sekolah sahaja, tapi sekarang ia merangkumi daerah Papar. :::

::: Aku sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah swt, mudah-mudahan aku sentiasa diberi kekuatan dan kemudahan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini. Syukur dan bangga sekiranya aku dapat membantu meningkatkan dan mengangkat prestasi sekolah-sekolah di Daerah Papar ini. InsyaAllah :::

::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::


Sabtu, 29 Januari 2011

Hari Ini Dan Semalam

Kelmarin langsung aku tak berkesempatan untuk membuka komputer riba dan melayari internet disebabkan beberapa perkara yang terpaksa aku lakukan. Semasa berada di sekolah kami sibuk membuat persiapan untuk temasya sukan tahunan sekolah. Aku bersama cikgu Yasin bertungkus lumus mendirikan pondok sukan rumah biru.

Lepas solat Jumaat pula aku bergegas ke SMA Limauan Kimanis menjemput anak perempuan aku balik dari asrama. Sebelah malam aku bermain badminton dengan rakan-rakan dari Pejabat Pelajaran Daerah Papar. Balik rumah dalam jam 11 malam. Lewat sedikit kerana kami pergi singgah minum. Entah mengapa minat aku untuk bermain badminton kembali membara, mungkin kerana penanggan raket baru tu.

Hari ini aku berhasrat untuk menghadiri satu majlis kahwin di kampung aku ni. Dan paling utama, kami akan bermarhaban di sana sebelah malam nanti...

Khamis, 27 Januari 2011

Sharifah Shahira Sahkan Jadi Deejay Suria FM

(artikel ini saya pinjam dari www.mstar.com.my)


Sharifah Shahira akan bergandingan dengan Zizi dan Halim dalam slot Breakfast@Suria pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 hingga 10 pagi.
PETALING JAYA: Bagi memantapkan lagi stesen penyiaran mereka, Suria FM berjaya memancing pengacara popular Sharifah Sahira menjadi deejay stesen itu berkuat kuasa Isnin depan.
Sharifah Sahira atau lebih mesra dengan panggilan Shira akan digandingkan dengan Zizi dan Halim Othman untuk slot pagi, Suria Breakfast selama empat jam bermula pukul 6 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat.
“Ya, saya akan menjadi salah seorang penyampai radio Suria FM. Walaupun pertama kali bergelar penyampai radio, saya akan cuba melakukan yang terbaik mengikut cara tersendiri.
“Saya menerima tawaran ini kerana tertarik dengan Suria FM dan mahu mencuba nasib sebagai penyampai radio. Lagipun, Suria FM menghargai bakat saya. Jadi, saya rasa terharu dengan tawaran ini,” kata Shahira.
Penyertaan Shahira dilihat untuk meningkatkan rating stesen itu sama seperti kejayaan Sinar FM yang turut mempertaruhkan tiga juruhebah mereka iaitu Khairil Rashid, Salih Yaacob dan Raja Azura bagi mengendalikan slot pagi.
Pengumuman tentang pelantikan Shahira sebagai penyampai baru radio tersebut akan diberitahu dalam satu sidang media khas: Breakfast@Suria Terbaharu di Studio V, One Utama, pukul 3 petang, Jumaat.
Menjawab dakwaan bahawa dia akan menjadi pesaing terdekat Raja Azura atau Kak Engku, Shira bagaimanapun menyerah segalanya kepada penerimaan pendengar.
“Saya bekerja untuk keluarga dan tidak menganggap kerja yang saya lakukan ini sebagai suatu persaingan kerana saya dan Kak Engku berkawan baik dan kami mempunyai stail masing-masing.
“Saya menganggap Kak Engku seorang penyampai yang terbaik,” ujarnya yang menerima tawaran tersebut melalui panggilan telefon pada awal Januari lalu.
Tambahnya: “Saya tak berfikir panjang, selepas mereka memberikan tawaran untuk menjadi penyampai radio Suria FM, terus saya bersetuju. Saya ditawarkan menjadi penyampai radio secara kontrak selama setahun.”
Dalam masa yang sama, Shahira berseloroh tidak dapat membayangkan bagaimana dia akan bangun seawal pukul 5 pagi untuk mengendalikan slot di awal pagi itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penyiaran, Suria FM, Yusry Abu Samah enggan mengulas tentang perkara tersebut sebaliknya mengesahkan stesen itu akan menerima penyampai radio baru yang juga seorang artis wanita popular dalam industri hiburan tanah air.

Kisah Raket Baru

Masa di sekolah kelmarin seorang rakan telah mengoffer aku raket badminton jenis Yonex Mucle Power 44 dengan harga RM150. Beliau membeli raket ini RM300 lebih. Jadi lepas balik dari sekolah aku dan seorang rakan lagi telah singgah ke rumah rakan ni untuk melihat dan mencuba raket tersebut.

Setelah rundingan meja dibuat, maka raket itu telah bertukar tuan. Dengan harga RM140 maka raket Yonex Mucle Power 44 tu menjadi milik aku. Rakan aku yang sorang tu pula dengan bangganya bersetuju untuk menawarkan satu lagi raket jenama LI NING dengan harga RM170 dan usahanya berhasil.

Jadinya semalam kami beraksi dengan raket baru...